Bismillahir Rohmaanir Rohim & Assalamualaikum buat sahabatku.
Anak adalah anugerah yang tidak ternilai yang di amanahkan oleh Allah kepada setiap pasangan hidup yang bergelar suami isteri. Anak juga merupakan lambang kekuatan dan nadi dalam kehidupan sesebuah keluarga. Anak juga adalah bekalan yang paling bernilai selepas kematian kita. Antara perkara yang boleh di bawa ke alam kubur adalah doa anak-anak yang soleh. Itu lebih mahal dan lebih berharga daripada jutaan wang ringgit. Namun sejauh manakah seseorang anak berbakti kepada kedua orang tuanya?
Anak Di Kala Kecil…
Sembilan bulan 10 hari. Itulah tempoh masa bagi seseorang ibu untuk bersama dengan kandungannya. Berbagai dugaan yang terpaksa ditempuhi semasa mengandung. Dengan alahannya, dengan emosinya yang tak menentu, namun si ibu sabar dan kuat menempuh hari-hari bermakna bersama kandungannya. Si ayah pula sentiasa menjadi yang terbaik dalam member layanan. Si ibu lenguh betis, si ayah setia mengurut sampaikan terlena si isteri menikmati urutan si ayah. Si ayah sanggup berkorban tempat tidur apabila si ibu tak sanggup dengan bau badan si ayah. Akibat dari alahan mengandung. Begitu besar pengorbanan ibu dan ayah.
Semasa dalam proses pembesaran anak ditantang bagaikan minyak yang penuh. Siang malam ibu dan ayah menjaga serta memastikan anaknya mendapat layanan yang terbaik. Setiap tangisan anak segera dipujuk dan dibelai agar si anak tidak merasa tersisih. Walaupun terpaksa mengetepikan kepentingan peribadi demi memenuhi setiap keperluan si anak. Namun waktu tu, kita tidak pernah mengerti betapa mahalnya nilai kasih sayang ibu dan ayah berikan. Andai di saat itu kita mengerti, mesti tidak wujud cerita si tanggang. Tidak wujud juga cerita batu belah batu bertakup.
Hebatnya aturan Allah. Sampai saat ni, kita masih tidak mengetahui akan jalan cerita kehidupan di waktu bayi dahulu. Melainkan ibu dan ayah yang berkongsi bercerita. Sekali sekala ibu dan ayah mengungkit kisah-kisah kehidupan kita yang lampau, memang mengukirkan senyuman. Tidak hairanlah ada diantara adik beradik kita yang terbahak-bahak dengan kenakalan kita waktu kecil dahulu. Di saat itu baru lah kita mengetahui, betapa kasih dan sayangnya ibu pada kita.
Anak Di Kala Mengenal Alam Persekolahan…
Waktu begitu pantas seiring dengan pembesaran si anak. Tidak ada seorang ibu bapa pun yang mahu melihat anaknya gagal dalam hidup. Kesemuanya mahukan anak mereka berjaya. Tidak kiralah berjaya di dunia mahupun di akhirat, semuanya mengimpikan masa depan yang cerah buat anak kesayangan mereka. Dikala si anak memasuki alam persekolahan, kebimbangan ibu dan ayah mulai dirasai. Bagi mereka yang pendapatan agak baik, mungkin kurang dirasai. Tetapi sebaliknya bagi mereka yang berpendapatan sederhana. Mengimbau kembali kenangan ibu dan ayah di masa lalu, terasa akan linangan air mata ini mengalir.
Hujan mahupun panas, si ayah dan si ibu gigih bekerja demi mencari pendapatan untuk menampung kos pembelajaran si anak. Besarnya pengorbanan seorang ibu dan ayah. Semasa di bangku sekolah rendah, pernah tak kita terfikir akan setiap kegigihan ibu dan ayah dalam menyara kos pembelajaran kita? Bagi aku sendiri, aku tak pernah rasainya. Hebatnya ibu dan ayah. Sesekali tidak pernah merungut akan penatnya mencari rezeki. Senyuman sentiasa diukir agak si anak terus ceria menikmati suasana kehidupan yang serba kekurangan. Hebatnya ibu dan ayah waktu itu.
Anak Seusia 20-an…
Anak yang dulunya seorang budak hingusan kini telah bergelar seorang remaja. Remaja yang bakal mencorak arah tuju hidupnya sendiri. Di alam ni, si anak banyak mengguriskan perasaan ibu dan ayah mereka. Maklumla darah anak muda. Pantang diusik mesti melenting. Masa ni ibu dan ayah mungkin merasa yang mereka gagal mendidik kita dengan baik. Sedangkan mereka telah melakukan tanggungjawab dengan baik. Begitu sempurna sekali sehinggakan kita terlupa akan pengorbanan dan jerit perih yang mereka tanggung selama ini. Setakat mana sangat marah kita pada ibu dan ayah.
Indahnya hidup ini jika setiap langkah kita di iringi dengan nasihat dari kedua orang tua untuk dijadikan panduan dalam menempuh hari-hari mendatang. Sehebat mana kah kita sampai lupa akan pengorbanan ibu dan ayah dalam membesarkan kita. Berjayanya kita dalam hidup ini berpunca daripada kerestuan ibu dan ayah. Hebatnya ibu dan ayah. Sejahat mana pun kita, ibu dan ayah tetap mendoakan yang terbaik untuk kita.
Tiap yang hidup pastinya akan mati. Memang begitulah percaturan kehidupan. Satu masa nanti, kita pasti kembali pada sang pencipta. Begitulah juga kehidupan ibu dan ayah. Sementara mereka masih bersama kita, berbaktilah sebanyak yang mungkin untuk mereka. Hargailah setiap pegorbanan yang telah mereka curahkan agar mereka rasa aman setelah menghembuskan nafas terakhir. Agar mereka merasai yang mereka telah pun berjaya mendidik kita dengan baik.
Kita juga akan melalui perkara yang sama. Akan melalui pengalaman menjadi seorang ibu, pengalaman menjadi seorang ayah. Di waktu itu, barulah kita sedar. Sukarnya memegang amanah dan tanggungjawab sebagai ibu dan ayah. Mungkin kesusahan yang kita rasa sekarang ini tidak sama dengan kesusahan yang telah ditanggung ibu dan ayah. Hargailah mereka selagi mereka masih berada di dunia ini.
sumber : cahayacinta.com
